Budaya masyarakat Melayu Melaka yang telah dibina adalah berdasarkan nilai- nilai sosial, perlakuan individu dan masyarakat, peraturan sosial yang dibentuk oleh agama dan juga adat. Masyarakat Melayu Melaka terkenal dengan budayanya yang amat mentaati dan menghormati sultan sebagai pemerintah. Sebagai contoh, Hang Tuah pada zaman pemerintahan Sultan Mahmud amat mentaati perintah Sultan Mahmud sehingga sanggup dihukum bunuh. Sebaiknya, nilai ketaatan yang ditonjolkan oleh masyarakat Melayu Melaka dipandang dari perspektif yang positif. Hal ini adalah kerana, dalam meladeni arus semasa yang kian mencabar, pelbagai anasir luar khususnya yang mampu menggugat ketaatan rakyat terhadap Sultan. Nilai ini perlu menjadi pegangan oleh semua rakyat dan harus diberikan perhatian kerana ia melibatkan semangat jati diri rakyat terhadap negaranya yang diketuai oleh sultan. Oleh yang demikian, nilai ketaatan kepada pemerintah ini wajar menjadi ikutan oleh masyarakat moden masa kini. Biarpun masa berlalu, dan sistem pemerintahan negara sudah berubah dengan adanya jawatan pemerintah lain seperti Perdana Menteri, nilai ini harus ada pada setiap individu yang bergelar rakyat. Ketaatan harus diberikan kepada pihak yang sepatutnya terutamanya kepada pihak yang memerintah. Rakyat negara Malaysia ini juga perlu diterapkan dengan nilai ini agar setiap dasar yang dijalankan oleh kerajaan dipatuhi dan mampu dilaksanakan dengan baik kerana rakyat dan pemerintah tidak mempunyai masalah dalam membangunkan negara.
Nilai seterusnya yang harus menjadi pegangan masyarakat masa kini ialah kerjasama. Masyarakat masa kini sudah semakin alpa. Keadaan masyarakat yang mementingkan kebendaan atau bersikap individualistik telah menghapuskan nilai kerjasama dalam masyarakat ini. Apabila nilai kerjasama terdapat dalam diri setiap individu masyarakat, pembangunan negara dapat ditingkatkan. Hal ini kerana, setiap daripada rakyat sentiasa bekerjasama antara satu sama lain dan saling melengkapi. Contoh nilai kerjasama yang terdapat diamalkan dalam budaya masyarakat melaka ialah, setiap pembesar yang dilantik seperti Bendahara, Temenggung, Penghulu Bendahari dan Syahbandar sentiasa bekerjasama dalam menjalankan tugas untuk melicinkan pentadbiran negeri bagi memastikan Melaka maju dan menjadi sebuah empayar pada zaman kegemilangannya. “Satu Malaysia” merupakan slogan terbaik supaya nilai kerjasama dapat dipupuk dalam kalangan masyarakat negara kita yang berbilang kaum. Masyarakat negara kita yang berbilang kaum perlu mempunyai rasa kesepunyaan untuk bekerjasama membangunkan negara. Semangat Satu Malaysia yang diterajui oleh Datuk Seri Najib Tun Razak pada hari ini amat menekankan nilai kerjasama yang terjalin antara semua kaum dimana kita berdiri, kita berfikir dan bertindak sebagai bangsa Malaysia. Ia juga amat menitik beratkan masyarakat kita mengambil tindakan-tindakan berdasarkan kehendak semua kumpulan etnik dalam negara kita secara bekerjasama dan bertolak ansur antara satu sama lain.
Sebuah negara yang maju dan membangun dipelopori oleh bangsa yang berilmu pengetahuan dan mempunyai penghayatan yang tinggi tentang sejarah pada pada masa lalu. Masyarakat Melayu Melaka amat mementingkan ilmu pengetahuan hingga wujudnya pelbagai institusi keilmuan pada masa tersebut. Melaka telah dapat membangunkan negerinya sebagai sebuah pusat kelimuan yang menjadi tumpuan masyarakat bukan sahaja di Melaka malah masyarakat di seluruh Nusantara. Nilai yang amat mementingkan ilmu dan pengetahuan ini seharusnya menjadi pegangan masyarakat masa kini kerana ilmu pengetahuanlah yang memandu generasi hari ini untuk terus ke hadapan. Rakyat yang berilmu pengetahuan akan sentiasa berusaha untuk membantu negara mencapai kemajuan seiiring negara maju yang lain. Oleh yang demikian, masyarakat hari ini harus sedar, ilmu dan pengetahuan amat penting dalam memastikan rakyat negara kita terutamanya golongan remaja agar tidak terus hanyut dengan arus kemodenan tanpa menimba apa- apa ilmu dan berusaha menyumbang memaju dan membangunkan negara. Bidang pendidikan umpamanya amat memerlukan guru- guru yang berwibawa dan berpengetahuan luas sesuai dengan tuntutan semasa.
Nilai- nilai Islam turut diamalkan dalam masyarakat Melayu Melaka. Sebagai contoh, Hukum Kanun Melaka Fasal 30, contohnya menjelaskan tentang hukum dan tatacara berniaga serta barang yang boleh diperniagakan mengikut cara Islam.Nilai- nilai yang mementingkan agama seperti agama Islam ini harus dicontohi oleh masyrakat masa kini kerana semua agama menggalakkan penganutnya supaya mempunyai akhlak dan moral yang baik dalam pelbagai aspek kehidupan. Gaya hidup masyarakat yang mementingkan agama adalah lebih teratur dan tersusun kerana setiap perkara yang dilakukan adalah berasaskan kepada ajaran agama yang murni. Dalam membentuk masyarakat yang berdaya saing dan mempunyai kemahiran yang tinggi, nilai- nilai agama dan moral perlu diserakan dan diberikan perhatian. Masyarakat hari ini, khususnya generasi muda perlu mempunyai pegangan yang kuat terhadap nilai- nilai agama agar tidak terjebak dengan pelbagai gejala sosial seperti yang terdapat dalam negara kita pada hari ini. Masyarakat yang taat kepada agama akan lebih menyumbang kepada negara kerana nilai- nilai agama yang dipraktikkan akan memberikan kesan kepada pembangunan negara itu sendiri. Negara Malaysia juga turut didedahkan dengan konsep Islam Hadhari yang menekankan pengamalan nilai- nilai agama Islam dalam kehidupan.
Nilai cinta akan tanah air turut dipraktikkan dalam masyarakat Melayu Melaka. Pada zaman Kesultanan Melayu Melaka, rakyat negeri ini mempunyai perasaan mencintai tanah airnya melebihi kepentingan diri sendiri. Mereka telah berjuang berhabis- habisan menentang musuh bersama- sama keluarga dan sahabat handai semasa Melaka diserang kali pertama oleh Siam pada tahun 1447 . Bendahara Tun Perak bersama- sama rakyat Melaka tidak kira kaum lelaki dan perempuan sama- sama berjuang di medan pertempuran demi mempertahankan Melaka. Pepatah yang memberikan semangat kepada mereka ialah "daripada hidup berputih mata, lebih baik mati berputih tulang".Keazaman rakyat Melaka ini telah dicetuskan oleh Bendahara Tun Perak dimana mereka sanggup bermatian- matian berusaha membalas serangan Siam kerana tidak sanggup melihat kaum keluarga dan rakyat Melaka mati dibunuh dalam serangan tersebut dan tanah tumpah darah mereka ditakluk oleh Siam. Mereka berjuang mempertahankan Melaka dengan semangat yang tinggi sehingga akhirnya kemenangan telah berpihak kepada Melaka. Dapat dilihat disini bahawa rakyat merupakan elemen yang penting dalam pembentukan negara terutamanya dalam mempertahankan negara dan mengangkat nama negara di mata dunia. Kekuatan perasaan cinta akan tanah air oleh masyarakat kepada negara mampu mewujudkan rasa sayang pada perjuangan dan pengorbanan masyarakat terdahulu dalam memerdekakan negara.
No comments:
Post a Comment